SBT: SK Ulu Lubai, Sarawak


LIMBANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan 23 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kohort kedua 2011, di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, iaitu sebuah daripada dua sekolah di Sarawak yang turut tersenarai.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan kohort pertama membabitkan 20 SBT menyediakan landasan kukuh untuk memberikan pengiktirafan kepada kohort kedua tahun ini.

Beliau berkata, kohort pertama SBT berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang dan pada masa sama, meraih beberapa kejayaan dalam pertandingan peringkat antarabangsa, selain berperanan penting dalam merapatkan jurang pencapaian antara sekolah melalui program anak angkat.

Katanya, SK Ulu Lubai, adalah sekolah pedalaman pertama di negara ini diiktiraf sebagai SBT dan mengucapkan tahniah kepada guru besar, guru, murid, ibu bapa dan seluruh warga sekolah itu yang berjaya menempa sejarah.
“Ini pencapaian amat istimewa. SK Ulu Lubai membuktikan berada di luar bandar bukan halangan mencapai kejayaan.

“Dengan keadaan sederhana dan bangunan kayu, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik amat cemerlang apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga kini dan sentiasa menjadi sekolah terbaik di Sarawak,” katanya berucap pada majlis pengiktrafan SBT Kohort 2 di SK Ulu Lubai di sini, semalam.

Hadir sama, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau.

Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan melonjak naik ke tempat pertama pada 2010, dengan pencapaian amat membanggakan.

Beliau berkata, SK Ulu Lubai juga memenangi dua anugerah pada peringkat antarabangsa iaitu johan anugerah Commonwealth Education Good Practice Awards 2009; finalis Commonwealth Education Good Practice Awards 2009 yang dianugerahkan Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia, serta terkini ialah pencalonan UNESCO Education of International Best Practices 2010.

Katanya, sekolah itu juga merangkul lima anugerah di peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah.

“SK Ulu Lubai juga aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi luar negara pada 2009 dan 2010 membabitkan Universiti Bristol United Kingdom (UK); Jin Shan Primary School Singapore; Kingsford Community School UK dan Deptford Green School UK.

“Sesuatu yang unik mengenai sekolah ini ialah sokongan dan kerjasama masyarakat setempat dalam semua aktiviti dirancang bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah termasuk gotong-royong dan membantu sekolah menyediakan makanan pelajar di asrama.

“Hasilnya, SK Ulu Lubai mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan amalan terbaik ‘Council of Commonwealth Education Ministers’ (CCEM),” katanya.


Komitmen luar biasa guru, ibu bapa lonjak SK Ulu Lubai

LIMBANG: Semangat dan komitmen luar biasa guru besar, guru dan ibu bapa menjadi rahsia kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, dipilih sekolah pedalaman pertama di negara ini yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Watikah pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada guru besarnya, Jaul anak Bunyau, di sekolah itu semalam, ketika mengumumkan senarai 23 SBT kohort kedua di sekolah terbabit.

Jaul, 48, yang menjadi guru besar di situ sejak 1998 berkata, kejayaan itu hasil usaha bersama guru dan ibu bapa yang komited dalam semua aktiviti pembelajaran, pengajaran dan kokurikulum murid di situ.

“Ibu bapa mungkin tidak dapat menyumbang kewangan kerana mereka hanya petani dan buruh kasar, tetapi komited membantu sekolah dalam semua aktiviti yang kita rancang untuk murid di sini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, komitmen luar biasa ini menyebabkan SK Ulu Lubai berjaya mencatat kelulusan 100 peratus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lima tahun berturut-turut sehingga 2010, serta pernah memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 anugerah peringkat negeri dan 46 lagi pada peringkat bahagian dan daerah.

FAKTA
23 Sekolah Berprestasi Tinggi

1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor
3. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak;
4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor;
5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah
6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang;
7. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur
8. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan
9. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak
10. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur
11. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur
12. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang
13. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor
14. Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak
15. SK Convent Muar, Johor
16. SK Seri Biram, Pahang
17. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah;
18. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur
19. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang
20. SK Sultan Ismail, Terengganu
21. SK Jalan Tiga, Selangor
22. SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang
23. SJK(C) Lick Hung, Selangor.

sumber: BHarian

0 comments: