Gegaran gempa 8.9 pada skala Richter di laut Sendai , Jepun yang mengakibatkan berlakunya ombak tsunami setinggi 10 meter yang melanggar Jepun pada jam 3.00 petang waktu Malaysia pada 11 Mac 2011. Ia dikatakan gempa yang terkuat di Jepun dalam tempoh 140 tahun.
Dari segi geologi, keadaan gelinciran plat bumi di sekitar laut Jepun yang mengakibat gempa bumi berlaku. Seterusnya menolak satu gelombang air yang besar membentuk ombak yang dikatakan Tsunami atau "ombak jahat".
Bencana alam yang bukan saja merosakkan harta benda tetapi nyawa manusia serta mengegarkan loji nuklear di Jepun, yang akhirnya radiasi nuklear terbebas dalam tanah dan udara. Kejadian ini hampir menyamai kesan Loji Nuklear di Chernobyl(klik di sini, untuk cerita lanjutnya).
Radiasi nuklear ini dikatakan satu bahan yang sangat merbahaya kepada kesihatan manusia yang boleh menyebabkan terjadinya barah(kanser) dan merosakan sel kromosom manusia, yang akhirnya boleh mencacatkan bayi di dalam kandungan.
Bahan nuklear ini digunakan diloji-loji di Jepun untuk menjanakan sistem elektrik untuk kegunaan rakyatnya. Kegunaan lain bahan nuklear ini juga sebagai bahan senjata yang maha hebat di atas alam ini untuk dijadikan "senjata nuklear" dalam peperangan.
Bahan nuklear menjadi rebutan bagi negara-negara maju dan negara yang berbangga dengan bahan asas untuk senjata pemusnah yang maha kuat ini. Antaranya negara USA, Perancis, Jepun, Korea Utara, India, China, Pakistan, Israel dan Iran.
Jepun adalah negara yang terletak di atas 4 plat tektonik yang mudah gelincir dan berlakunya gempa. Oleh itu tidak hairanlah Jepun banyak mengalami siri-isri gempa bumi yang teruk antaranya: -gempa bumi Kashiwazaki 2007 -gempa bumi Nigata 2004 -gempa bumi Kobe 1995 -Gempa bumi Niigata 1924 -Gempa bumi Tokyo 1923 -Gempa bumi Hari Marine more »
DI WAKTU kecil, apabila awan gelap berarak di langit, saya akan terkinja-kinja kerana tahu hujan lebat akan turun. Mandi hujan adalah kegemaran saya dan kawan-kawan sebaya. Mandi air yang turun dari cucur atap sungguh menyegarkan. Airnya sejuk. Lebih seronok lagi bila dapat memanjat dan masuk ke dalam tong lege iaitu tong minyak tar yang tingginya separas dada setelah dipotong dua. Airnya sedingin ais.
Puas mandi, saya dan kawan-kawan akan pergi ke parit di belakang rumah. Air yang melimpah dari dalam parit, melimpahkan juga ikan sepat dan anak-anak ikan yang lain. Dengan menggunakan pungkis, iaitu bakul rotan yang digunakan untuk mengangkat sampah, kami akan menangguk ikan yang masuk ke dalam kebun. Semua ikan yang ditangguk akan dimasukkan ke dalam tin majerin.
TETAPI, setelah hujan berhenti, tibalah masanya untuk menuju ke muka pengadilan! Abah yang selalunya tahu saya ke parit dengan kawan-kawan akan menanti di tangga rumah. Sambil mencekak pinggang, abah akan memberitahu yang dia puas memanggil saya menyuruh pulang. Namun, siapa yang dapat mendengar laungannya yang ditenggelami bunyi deru hujan lebat?
Seperti biasa, dengan muka kasihan, saya akan naik ke rumah tanpa berkata apa-apa. Tanpa disuruh, saya akan menarik salah sebatang rotan yang terselit di dinding dan menghulur kepadanya. Biasanya rotan yang saya pilih adalah yang paling besar kerana rotan yang halus akan memberi kesan pedih sementara yang besar sedikit akan memberi kesan sengal.
Abah akan menyebat betis saya tidak lebih daripada lima kali, bergantung kepada tahap kemarahannya. Oleh kerana saya selalunya diam ketika menerima hukuman, biasanya saya akan menerima tiga sebatan. Tetapi, walaupun sebatannya hanya tiga kali, betis saya akan birat berbelang. Berjurailah air mata. Tetapi saya sudah pandai untuk menangis tak berlagu.
Saya tahu, abah sayangkan saya. Apabila malam, setelah didodoi oemak, abah yang baru pulang daripada surau akan datang untuk melumur minyak urat di betis saya yang berbirat. Ketika itu, saya akan pura-pura tidur kerana berasa bahagia disayangi meskipun telah melakukan kesalahan. Saya mula mengerti, bila salah, kita pasti menerima hukuman. Saya mula fahami bahawa kita juga mesti menerima hukuman dengan tenang.
Lama sebelum itu, apabila saya melakukan kesalahan dan tatkala abah sedia menyebat, saya akan meraung, merayu dan minta ampun. Pernah juga saya lari dan bersembunyi di belakang emak untuk mengelak hukuman. Namun, pada suatu ketika, sambil menyebat abah sempat menurunkan nasihat, kalau hendak menjadi anak jantan, kita mestilah berani buat dan berani tanggung. Maknanya, saya bukan anak jantan jika berani buat, tetapi tak berani tanggung.
KITA semuanya sudah mumaiyiz sebelum akil baligh lagi. Tentu sekali kita tahu yang mana betul, yang mana salah, yang mana baik, yang mana buruk. Apabila dewasa, kita semestinya sudah panjang akal. Tahu risiko yang akan terjadi apabila kita melakukan kesalahan. Oleh itu, andainya kita sudah boleh berfikiran jauh, tetapi masih berani membuat salah, kita mestilah bersedia untuk menerima hukuman yang setimpal.
Kita tahu memandu melebihi had laju itu satu kesalahan. Berlumba dan beraksi dengan motorsikal seperti pelakon lasak itu juga satu kesalahan. Merokok itu membahayakan kesihatan. Atau, sengaja datang lewat ke pejabat itu melanggar peraturan syarikat. Mudah sekali kita memahami risiko melakukan kesalahan. Kerana itu, apabila hukuman sampai, kita sepatutnya menerima dengan senang dan tenang hati.
Kerana itu, tak kenalah bila kita yang melakukan kesalahan itu menyalahkan pula si pemberi hukuman. Bukankah kita ada hati kecil, yang siang-siang lagi membisikkan amaran sebelum kita lakukan satu kesalahan? Jadi, mengapa tidak mendengar suara dari lubuk hati itu? Tetapi, setelah melakukan kesalahan, kenapa kita berani pula mempersoalkan si pemberi hukuman dan mencabar pula sistem undang-undang sedangkan si penghukum berperanan membetulkan kita agar menjadi lebih baik?
BERANI menerima hukuman itu menandakan kita redha dengan ketentuan. Ia akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan itu pula akan menjadikan kita lebih baik. Mudah-mudahan memperoleh rahmat dari Yang Maha Pengampun.
Penulis terkenang sebuah lagu evergreen 'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi' ciptaan M Nasir nyanyian Alleycats yang telah dirakamkan lebih 20 tahun lalu yang masih malar segar ke hari ini.
Antara intisari lagu tersebut ialah 'sekuntum mawar merah, sebuah puisi, untuk gadis pilihan, ooooo...di bulan Februari...' Lagu yang mengasyikkan itu adalah pernyataan kasih sayang antara uda dan dara yang mana perantaranya ialah sekuntum mawar merah dan diberikan pada bulan Februari.
Lagu itu sekadar lagu dan hanya sebagai hiburan. Mujur hanya dinyatakan pada bulan Februari tanpa menyebut tarikhnya,14 Februari yang dikatakan adanya perkaitan dengan hari Valentine.
Oleh kerana lagu tersebut hanya disebut pada bulan Februari sahaja maka idea lagu tersebut tidak menjadi sebarang polemik walau sudah bertahun-tahun berkumandang. Dalam erti kata lain, hadiah kuntuman bunga mawar merah itu boleh dihadiahkan pada bila-bila tarikh pada bulan Februari tanpa mengaitkan hari Valentine.
Tuntutan Islam
Sebenarnya konsep kasih sayang dituntut dalam lslam.
Namun kasih sayang itu ada batasan-batasan yang tidak melanggar syariat. Kasih sayang antara suami isteri yang juga boleh dianggap sepasang kekasih, anak-anak dan ibu bapa, saudara mara dan ahli dalam keluarga. Atau dalam skop yang lebih luas kasih sayang sesama insan dan kehidupan.
Sebenarnya kasih sayang itu sepanjang waktu, sepanjang masa bukan pada hari-hari atau bulan tertentu sahaja. Kasih sayang itu adalah semata-mata kerana dan ke jalan Allah SWT.
Apa yang kita tidak mahu seperti mana yang dilaporkan dalam tempoh 9 tahun (2001-2010) kira-kira 260 ribu bayi lslam di negara kita dilahirkan tanpa nikah yang mana puratanya kira-kira 28 ribu setiap tahun.
Dalam konteks ini adalah wajib kita mengingatkan umat lslam khususnya para remaja lslam bahawa agar tidak terpedaya dengan tipu daya iblis laknatullah dan musuh-musuh lslam dengan kehidupan pergaulan bebas, seks rambang, ICT negatif dan mengambil kesempatan melakukan maksiat berselindung atas jenama hari Valentine dan sebagainya.
Justeru, isu hari Valentine yang menjadi sensasi dan publisiti usahlah difokuskan dengan kepercayaan penganut agama lain.
Penjenamaan semula
Apa yang penting pada penulis suatu penjenamaan semula harus diberikan kepada Hari Kasih Sayang ini seperti mana Hari lbu, Hari Bapa, Hari Wanita dan seumpamanya.
Walaupun boleh disambut pada bila-bila masa tapi tidak salah dipilih pada bulan Februari tetapi tidak semestinya pada 14 Februari. la boleh ditetapkan pada 18 Februari, 21 Februari atau 28 Februari, terserahlah.
Dengan ini kita tidak memfokuskan Hari Kasih Sayang kepada para remaja sahaja tetapi kepada semua insan. Dengan penjenamaan baru ini lama kelamaan elemen-elemen maksiat boleh terhakis daripada minda dan tidak ada kaitan dengan sebarang kepercayaan dan agama.
Apakah menjadi kerisauan kepada para peniaga bunga dan cenderamata kerana akan terjejas perniagaan mereka itu adalah isu sampingan? Apa yang penting semua pihak harus berpijak di bumi nyata.
Kesimpulannya isu utama ialah masalah keruntuhan moral, pembuangan bayi, kejahilan konsep kasih sayang dan gejala maksiat.
Ini bukan sahaja menjadi masalah pokok utama umat lslam dan remaja Melayu sahaja tetapi merupakan masalah bersama juga bagi penganut-penganut agama lain dan kaum-kaum lain di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Justeru, suatu langkah membenteras gelaja-gejala negatif menjadi tanggung jawab semua pihak dan individu tanpa mengira fahaman politik, agama, budaya dan kaum.
PETANG semalam, saya menerima e-mel yang gempar tetapi menarik, kononnya personaliti yang gemar bersosial, Paris Hilton telah memeluk Islam. Biar betul! E-mel enam para itu siap menyertakan gambar Paris Hilton yang bertudung litup. Wah! Sekilas pandang dan sekali baca, berita ini pasti sensasi. Naluri berasa syukur dan gembira apabila mengetahui seseorang itu memeluk agama Islam mula menyelinap di hati.
Tapi, nanti dulu. Wajah Paris Hilton masih bercelak dan bergincu walaupun dia telah bertudung litup. Ada sesuatu yang tak kena dengan wajahnya itu. Tampak seperti diandam menggunakan teknologi komputer atau dikenali sebagai photoshop. Sumber berita itu pun dipetik daripada laman web The Daily Squib. Saya tak pernah dengar nama akhbar dalam talian ini.
Apabila saya menelusuri internet untuk mencari makna squib di kamus talian Merriam-Webster, saya mendapati squib membawa maksud, tulisan humor ataupun satira pendek. Sebaik sahaja saya melayari laman akhbar dalam talian The Daily Squib, saya dapati ia dipenuhi dengan berita-berita lawak yang palsu yang antaranya ~ ‘Ku Klux Klan(sebuah pertubuhan anti-kulit hitam) Menyokong Obama,’ ‘Minuman Botox (bukan lagi suntikan) Kian Popular’ dan ‘Hosni Mubarak Akan Dimumiakan Bila Ditangkap!’
Seperti yang saya jangka, berita Paris Hiltan memeluk Islam adalah sebuah satira. Ironinya, apabila saya melayari laman-laman web yang berkaitan dengan berita jenaka itu, terdapat berpuluh-puluh laman dan blog yang percaya Paris Hilton sudah masuk Islam! Ada puja dan ada puji apabila masing-masing menyalin berita daripada The Daily Squib itu. Yang nyata, mereka menerima bulat-bulat berita selebriti itu. Terdapat banyak sekali komen-komen yang menyokong atau mengkritik tindakan Paris Hilton kerana benar-benar mempercayai berita palsu itu.
Pada 8 Januari lalu, timbul cerita kononnya Mark Zuckerberg, tuanpunya laman sosial Facebook mahu menutupnya kerana beliau begitu stres dengan ciptaannya itu. Sumber asal berita itu dipetik daripada laman web Weekly World News yang dikenali sebagai laman yang menjana berita-berita palsu untuk suka-suka. Tetapi, berita itu jugalah yang menimbulkan keresahan ahli-ahli Facebook yang mempercayai beritanya. Berpuluh-puluh grup yang menentang penutupan Facebook muncul di laman sosial itu sendiri.
Dalam minggu lepas, muncul khabar daripada blog-blog yang mengatakan bahawa para ibu bapa akan diminta kerajaan membayar kos menghantar pulang anak-anak mereka dalam Operasi Piramid. Sekali lagi ramai yang mempercayainya dan timbul pula kata-kata yang tidak manis yang mempersoalkan tindakan kerajaan itu. Padahal, ia hanya khabar angin yang berpunca daripada perli memperli sesama penulis-penulis blog yang condong sama ada kepada parti BN atau PR.
Soalnya mengapa kita mudah sangat mempercayai sesuatu tanpa menyelidik? Mengapa kita senang sangat menelan bulat-bulat apa yang didengar dan dilihat tanpa menyusur-galur ke akar sumber berita dan ceritanya? Bukankah mempercayai sesuatu tanpa usul periksa itu mengakibatkan kita membuat keputusan yang salah?
Mungkin sekali kita mudah latah. Bertandak sebaik sahaja gendang pembohongan dipalu. Lagi laju pukulan gendang, semakin rancak kita menari. Akhirnya kita juga yang terjelepuk keletihan. Mungkin juga kita mudah lupa. Lupa bahawa kita kini berada di akhir zaman di mana fitnah dan pembohongan berleluasa. Kerana lupa jugalah kita tertipu kepada kepalsuan bukannya sekali, malah berkali-kali hingga lali.
Mungkin juga kita tidak mengamalkan tabiat untuk menapis apa sahaja yang sampai ke pengetahuan kita dengan menyelidik daripada manakah asal sumber berita yang kita terima itu. Andainya kita mengambil masa yang sedikit untuk menyemak sesuatu berita itu, dengan mudah sahaja kita tahu samada ia masuk akal ataupun sebaliknya. Petua agar tidak mudah tertipu dengan khabar palsu ini mudah sahaja.
Rujuklah panduan daripada Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.2.2011
PADA minggu lalu, saya membuat anggaran, andainya kita belajar dengan 7 orang guru bagi setiap tahun daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, iaitu dengan sebelas tahun persekolahan, kita sudah menuntut dengan 77 orang guru. Jikalau dicampur dengan guru-guru lain seperti Guru Besar, Guru Disiplin, guru-guru sekolah agama dan guru-guru tuisyen, ini bermakna, dalam usia 7 hingga 17 tahun, kita sudah berguru tidak kurang dengan 100 orang cikgu.
Sewaktu persekolahan, untuk satu-satu matapelajaran pun, kita belajar dengan lebih seorang guru. Yang pasti, sama ada ia matapelajaran matematik, kajian tempatan, fizik, kimia ataupun pendidikan jasmani, kita menuntut dengan lebih daripada tiga orang guru. Misalnya, untuk matapelajaran Bahasa Malaysia, kita belajar dengan empat guru bahasa yang berbeza ketika kita di darjah satu, darjah enam, tingkatan satu dan tingkatan lima.
Setelah meninggalkan alam pendidikan formal dan memasuki alam pekerjaan, dari semasa ke semasa, kita terus belajar sama ada melalui pengalaman ataupun melalui kursus, bengkel dan seminar yang diatur oleh pihak majikan ataupun yang kita sendiri sertai. Sememangnya kita harus terus menimba ilmu kerana ilmu itu sendiri berubah, berkembang, bertambah dan semakin pelbagai.
Di luar program-program pembelajaran ini pula, ramai di antara kita yang belajar sesuatu kemahiran dan pengetahuan dalam bidang-bidang yang diminati untuk keperluan diri bagi meningkatkan taraf hidup. Ada yang belajar ilmu memasak, kraf, muzik, penulisan, seni mempertahankan diri, kejurujualan, malah ada di antara kita yang menuntut ilmu perubatan alternatif.
Kebanyakan pelajaran secara sendiri-sendiri ini tiada kurikulum yang khusus. Oleh kerana kekangan masa, kita mungkin hanya sempat belajar dengan seorang guru sahaja. Pembelajaran yang diikuti tidak akan mendatangkan masalah persepsi selagi kita faham bahawa ilmu yang ditimba dengan seorang orang guru itu adalah sedikit sekali dan pastinya tidak luas dan mencukupi.
Andainya ia adalah ilmu kemahiran seperti kraf dan memasak umpamanya, ia tidak akan menjadi masalah. Sebaliknya, jika ilmu itu adalah ilmu spiritual seperti perubatan alternatif, persilatan atau keagamaan, ia dikhuatiri akan menjadi masalah apabila kita berasa ilmu itu sudah lengkap meskipun kita hanya belajar dengan seorang guru. Hal ini biasa terjadi kerana seseorang guru itu pasti mengatakan ilmu yang disampaikannya itu yang terbaik. Kita yang tidak mahu memperluaskan pengetahuan dengan berguru dengan orang lain kerana terpengaruh akan menjadi taksub dengan ilmu itu.
Taksub dengan ilmu itu berpunca daripada taksub dengan guru. Ketaksuban lebih banyak berlaku apabila kita hanya belajar dengan seorang guru. Kita rugi kerana akibat berasa cukup, kita tidak lagi menambah ilmu sedangkan besar kemungkinan kita memperoleh ilmu yang lebih banyak dan tinggi daripada guru itu sendiri seandainya kita belajar dengan guru-guru lain.
Kebarangkalian seseorang itu boleh tertipu dengan seseorang guru itu boleh berlaku apabila kita tidak berpeluang untuk menyemak ilmu yang dipelajari daripada guru lain. Para ulama di zaman silam berguru dengan lebih daripada seorang. Empat imam-imam besar pemimpin mazhab iaitu Imam Malik, Imam Shafie, Imam Hambali dan Imam Maliki dikatakan menuntut dari berpuluh-puluh orang guru.
Guru yang baik pula mempunyai tiga ciri-ciri yang terpuji dalam proses perguruannya. Di peringkat pertama, mereka mengajar kita sebagai guru dan kita sebagai muridnya. Di fasa ini, kita sebagai murid harus mendengar dengan patuh dan taat. Peringkat kedua pula ialah bilamana guru membenarkan kita mempersoalkan ilmu yang disampaikannya.
Di waktu itu, guru dan murid sama-sama memperoleh ilmu. Peringkat ketiga pula ialah apabila murid berani mengajar gurunya dan guru pula belajar daripada muridnya. Kedudukannya berubah, guru menjadi murid dan murid menjadi guru. Apabila ini terjadi, maka proses perguruan itu lengkap dan kedua-duanya memperoleh kedudukan yang tinggi.
Guru-guru beginilah yang sepatutnya kita cari! “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” (Surah al-Zumar, 9)
BERMULA daripada tadika, kemudian di sekolah rendah dan akhirnya ke sekolah menengah, kita didedahkan dengan pelbagai matapelajaran. Subjek sains seperti biologi, fizik, kimia dan matematik membolehkan kita mahir menggunakan otak kiri agar dapat mengendali fikiran yang rasional dan logik. Subjek-subjek seni dan sastera seperti bahasa, geografi dan sejarah pula memacu otak kanan agar lebih intuitif dan emosional.
Sejak darjah satu hingga ke tingkatan lima, kita bertemu dengan berpuluh-puluh orang guru yang mengajar kita berbelas-belas mata pelajaran. Andainya kita belajar dengan 7 orang guru bagi setiap matapelajaran daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, iaitu dengan sebelas tahun persekolahan, kita sudah menuntut dengan 77 orang guru. Jikalau dicampur dengan guru-guru lain seperti Guru Besar, Guru Disiplin, guru-guru sekolah agama dan guru-guru tuisyen, ini bermakna, dalam usia 7 hingga 17 tahun, kita sudah berguru tidak kurang dengan 100 orang cikgu!
Sudah tentu, seandainya kita jumlahkan dengan golongan pensyarah apabila menuntut di institusi pengajian tinggi, pendidik yang mengajar kita bertambah berpuluh-puluh orang lagi. Jelas sekali, dunia akademik yang kita lalui selama berbelas-belas tahun mempertemukan kita dengan begitu ramai guru. Maknanya, jika kita masih belum menjadi orang selepas belajar dengan ratusan orang guru, tentu ada yang tidak kena dengan diri kita sendiri.
Malangnya, sebilangan besar daripada kita telah kembali kepada kejumudan fikiran walaupun sudah dibuka oleh beratus orang guru masing-masing sebelum ini. Ia terjadi apabila pengalaman di alam pendidikan formal dilupakan begitu sahaja, seolah-olah ia tiada kaitan dengan pembinaan minda dan pertimbangan tindakan dalam mengharungi kehidupan seharian.
Mengapa terjadi demikian? Ia berlaku apabila kita menutup buku dan memisahkan dunia pendidikan formal dengan dunia kehidupan. Memang benar, dunia persekolahan itu terkawal, penuh dengan disiplin, ketertiban dan penuh beretika. Tetapi, bukankah dunia itu yang membentuk dan menyamakan sebilangan besar daripada kita untuk memulakan langkah kehidupan di padang yang sama rata dengan orang lain?
Seharusnya, setelah berbelas tahun belajar, kita sudah boleh menjadi intelektual, boleh mengamalkan ilmu yang diperolehi, tahu membezakan yang mana yang baik atau buruk, menilai mana satu fakta, mana satu fitnah, mana satu yang hak, mana satu yang batil serta boleh menelah apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dengan mudah. Kita tidak mungkin tertipu dengan kekayaan yang nampaknya disamaertikan dengan kekayaan material semata-mata.
Tentu sekali jika wang ringgit menjadi ukuran kekayaan, kita akan lihat seolah-olah terdapat ketidakadilan daripada segi material. Ramai yang berasa tewas semata-mata apabila kalah daripada segi harta. Sedangkan material hanya salah satu aspek pengukur kekayaan. Pokoknya, siapakah yang mengajar kita untuk menilai diri sendiri hanya mengikut ukuran ini? Apakah besarnya rumah, banyaknya kereta, luasnya ladang dan melimpah ruahnya harta itu satu-satunya ukuran?
Meskipun ramai yang tahu, ramai juga yang terlupa bahawa kita tidak boleh mengukur kekayaan dengan banyaknya harta. Kekayaan mental adalah juga pengukur kejayaan. Selain daripada kelulusan atau segolong ijazah yang menjadi bukti bertulis, kekayaan mental seseorang itu dapat dinilai dengan kebolehannya mengeluarkan buah fikiran yang kritis, tegar dengan pendirian yang berpaksikan kebenaran serta tidak takut dengan seseorang hanya kerana dia mempunyai pangkat dan harta. Orang yang kaya mentalnya juga mewarisi kekayaan yang tersendiri.
Kekayaan jiwa ataupun spiritual adalah satu lagi kayu ukur kekayaan. Sudah pasti orang yang kaya spiritual dengan segala sifat yang baik budi pekerti, baik bahasa dan segala sifat kemanusiaan dan kemalaikatan itu mengatasi kekayaan ratusan jutawan dan ribuan ilmuan. Yang kaya dan berilmu pun boleh tunduk dengan ketokohan dan kewibawaan orang yang kaya spiritualnya.
Selain daripada material, mental dan spiritual ada satu lagi kekayaan yang penting, tetapi bagai dilupakan oleh ramai daripada kita. Kekayaan itu diperlukan walaupun kita mempaunyai kekayaan-kekayaan yang lain. Tanpanya, kekayaan material, mental dan spiritual tidak akan bererti lagi. Kekayaan itu adalah kekayaan fizikal. Ia bukan bererti besarnya tubuh badan, sebaliknya betapa sihatnya fizikal kita. Tanpa kekayaan fizikal, tiada gunanya kekayaan yang lain. Untuk apa berpapah, sedangkan kita sepatutnya melangkah.