Tahniah kepada dua murid SK Padang Jawa kerana berjaya sehingga ke peringkat Negeri Selangor dalam acara sepak takraw . Kedua-dua murid tersebut ialah Fariz Ameer dan Muhammad Izzat (murid Tahun 6). Kejohanan sepak takraw ini dijalankan di daerah Kuala Langat minggu yang lalu.more »
Berikut adalah senarai 10 negara yang diiktiraf mempunyai rakyat paling berpendidikan di seluruh dunia. Laporan oleh OECD 1. Kanada 50% atau separuh warga Kanada berkelulusan universiti. Satu rekod yang sangat tinggi..berbanding Malaysia yang hanya 15% berkelulusan universiti. Bahasa pengantar utama pendidikan di Kanada adalah Bahasa Inggeris dan Perancis…..(wilayah Quebec dan New Brunswick menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa ilmu dari peringkat tadika hingga universiti)
2. Israel 45% warga Israel berkelulusan Universiti. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Hebrew..namun pelajar juga diwajibkan lulus bahasa Inggeris dan Arab.
3. Jepun 44% warga Jepun berkelulusan universiti…dan Jepun hanya menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar dari peringkat tadika hingga ke universiti. Namun pelajar digalakkan belajar bahasa asing seperti Korea,Cina,Inggeris,Jerman dan Russia.
4. Amerika Syarikat 41% warga Amerika berkelulusan universiti. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Inggeris…namun ada sekolah di Amerika khususnya di negeri selatan seperti New Mexico, Florida, Arizona dan Texas menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pengantar.
5. New Zealand 40% warga New Zealand berkelulusan universiti. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar utama.
6. Korea Selatan 39% warga Korea Selatan berpendidikan universiti. Korea Selatan hanya menggunakan bahasa Korea sebagai bahasa pengantar utama di sekolah hingga ke universiti…namun pelajar digalakkan menguasai bahasa asing seperti Inggeris, Cina, Russia, Jepun dan sebagainya.
7. Norway 37% warga Norway berpendidikan tinggi. Norway juga menggunakan bahasa Norway sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah hingga universiti…namun pelajar diwajibkan lulus sekurang-kurangnya satu bahasa asing.
8. United Kingdom 37% warga Britain juga berpendidikan tinggi. Bahasa utama semestinya bahasa Inggeris…namun di Scotland dan Wales..ada usaha menjadikan bahasa Scottish dan Welsh sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan universiti terutama selepas Scotland dan Wales mendapat kuasa autonomi ekoran daripada “devolution of British Parliament”.
9. Australia 37% warga Australia berpendidikan tinggi dan bahasa utama adalah bahasa Inggeris. Australia juga dipuji kerana pada masa sekarang Australia adalah negara yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa.
10. Finland 37% warga Finland berpendidikan universiti.,.dan negara Finland hanya menggunakan bahasa Finland sebagai bahasa pengantar utama di sekolah hingga universiti.
SUMBA TIMUR - Kita biasa mendengar murid-murid ke sekolah dengan berjalan kaki, tetapi lain halnya yang berlaku di Sumba Timur, Nusa Tenggara Timur apabila murid sekolah rendah di sini terpaksa mengharungi arus deras sungai semata-mata untuk menuntut ilmu.
Itulah pemandangan biasa yang berlaku setiap pagi apabila kira-kira 20 murid Sekolah Rendah Inpres (SDI) Maulumbi, Mukim Kanbera terpaksa berenang dalam keadaan telanjang bagi mengelakkan pakaian seragam dan buku sekolah mereka basah.
Bukan sahaja perlu mengenepikan rasa malu, murid-murid berumur tujuh tahun hingga 15 tahun itu juga terpaksa menyeberangi arus deras Sungai Maulumbi yang turut dihuni buaya untuk pergi dan balik dari sekolah.
Pelajar-pelajar itu terpaksa menanggalkan pakaian seragam sekolah dan kasut mereka bagi mengelakkan ia basah sebelum menyimpannya di dalam beg sandang yang turut diisi kelengkapan lain sekolah.
Mereka bukan sahaja akan berada di dalam sungai untuk tempoh 10 minit, tetapi juga terpaksa berenang di tengah sungai yang agak dalam.
Setelah tiba di seberang, mereka perlu memakai semula pakaian seragam dan kasut sekolah sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.
Di tebing sungai, beberapa penjaga atau ibu bapa yang prihatin boleh dilihat menemani anak mereka, malah ada antaranya yang turut bersama menyeberangi sungai kerana bimbangkan keselamatan anak serta ancaman daripada buaya.
"Setiap pagi saya akan hantar anak menyeberangi sungai untuk ke sekolah. Saya juga akan menjemputnya pada waktu petang.
"Arus Sungai Maulumbi agak deras, buaya pula sering dilihat di sini. Saya bimbang akan keselamatan anak," kata Erlin Konda Nguna, 23.
Ibu muda itu berkata, murid-murid sekolah rendah yang tinggal di Sumba Timur juga terpaksa ponteng sesi persekolahan sekiranya banjir besar berlaku.
"Memang ada sampan di sini, tetapi hanya ada sebuah dan tidak mampu memuatkan semua orang pada satu-satu masa," katanya. - Agensi
sumber: utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_10.htmmore »
Kali ini dibulan yang baik dan mulia ini, kita bakal menempuh hari-hari berkat-bersejarah-dan mencabar. Dalam tempoh dua bulan ini rakyat Malaysia akan menghadapi puasa ramdhan dan Aidilfitri, juga bulan Kemerdekaan Malaysia dan peperiksaan UPSR-PSRA bagi anak-anak Tahun 6 seluruh Malaysia.
Moga di bulan ramadhan ini kita mendapat keberkatan dari Nya.
Di bulan Kemerdekaan kita mengenal sejarah tanahair.
Cabaran UPSR dan PSRA kita berdoa kejayaan mereka.
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus. Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya: “Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.
Waktu berniat Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
Salam menempuh Ramadhan al Mubarak. Semoga mendapat keberkatan.
Doa Berbuka Puasa: Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa 'alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin. اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya : Ya Allah kerana Engkau aku telah berpuasa, kepada Engkau aku telah beriman, dan dengan rezki Engkau aku telah berbuka dengan rahmatMu, wahai sebaik-baik Pemberi Rahmat..Amin....
Dalam Bulan Mei banyak hari yang akan disambutsalah satunya adalah Hari Guru yang jatuh pada tanggal 16 Mei setiap tahun. TEMA HARI GURU 2011 Guru Penjana Tranfomasi Pendidikan Negara.
IKRAR HARI GURU Bahawasanya kami Guru-guru negara Malaysia Dengan ini berikrar Mendukung terus cita-cita kami Terhadap tugas kami Dan menyatakan keyakinan kami Pada cita-cita murni pekerjaan kami Kami akan berbakti Kepada masyarakat Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung Perlembagaan negara Kami mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara Pada setiap masa.
LAGU GURU MALAYSIA Kami guru Malaysia Berikrar dan berjanji Mendidik dan memimpin Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka Kami tumpahkan setia Rukun Negara kita Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan Kami tetap bersama Membantu, membina Negara yang tercinta
Amanah yang diberi Kami tak persiakan Apa yang kami janji Tunai tetap kami tunaikan
Lagu & Lirik : Hashim Ahmad
Lagu Guru Malaysia boleh nyanyi bersama-sama...selamat hari Guru.
Semua guru kini dilibatkan lagi dengan laman baru yang mesti diisi iaitu E Operasi. Kebanyakan laman ini adalah bersifat data peribadi guru-guru di Malaysia.
Data ini digunakan bagi pertukaran guru-guru Malaysia di sistem e-GTukar secara online. Oleh itu, jika guru-guru tidak register di dalam e-Operasi mungkin guru akan menghadapi masalah dalam e-GTukar.
Gegaran gempa 8.9 pada skala Richter di laut Sendai , Jepun yang mengakibatkan berlakunya ombak tsunami setinggi 10 meter yang melanggar Jepun pada jam 3.00 petang waktu Malaysia pada 11 Mac 2011. Ia dikatakan gempa yang terkuat di Jepun dalam tempoh 140 tahun.
Dari segi geologi, keadaan gelinciran plat bumi di sekitar laut Jepun yang mengakibat gempa bumi berlaku. Seterusnya menolak satu gelombang air yang besar membentuk ombak yang dikatakan Tsunami atau "ombak jahat".
Bencana alam yang bukan saja merosakkan harta benda tetapi nyawa manusia serta mengegarkan loji nuklear di Jepun, yang akhirnya radiasi nuklear terbebas dalam tanah dan udara. Kejadian ini hampir menyamai kesan Loji Nuklear di Chernobyl(klik di sini, untuk cerita lanjutnya).
Radiasi nuklear ini dikatakan satu bahan yang sangat merbahaya kepada kesihatan manusia yang boleh menyebabkan terjadinya barah(kanser) dan merosakan sel kromosom manusia, yang akhirnya boleh mencacatkan bayi di dalam kandungan.
Bahan nuklear ini digunakan diloji-loji di Jepun untuk menjanakan sistem elektrik untuk kegunaan rakyatnya. Kegunaan lain bahan nuklear ini juga sebagai bahan senjata yang maha hebat di atas alam ini untuk dijadikan "senjata nuklear" dalam peperangan.
Bahan nuklear menjadi rebutan bagi negara-negara maju dan negara yang berbangga dengan bahan asas untuk senjata pemusnah yang maha kuat ini. Antaranya negara USA, Perancis, Jepun, Korea Utara, India, China, Pakistan, Israel dan Iran.
Jepun adalah negara yang terletak di atas 4 plat tektonik yang mudah gelincir dan berlakunya gempa. Oleh itu tidak hairanlah Jepun banyak mengalami siri-isri gempa bumi yang teruk antaranya: -gempa bumi Kashiwazaki 2007 -gempa bumi Nigata 2004 -gempa bumi Kobe 1995 -Gempa bumi Niigata 1924 -Gempa bumi Tokyo 1923 -Gempa bumi Hari Marine more »
Di hadapan tugu kesedihan, berdirilah seorang pemimpin besar, sedang berpidato di hadapan beribu-ribu umat. Antara isi pidatonya antara lain ialah:
“Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana di hadapanmu terbentang kesempatan untuk mengerjakan segala yang sulit-sulit. Segala perbuatanmu dihargai orang, engkau beroleh pujian di mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.
Jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati, dan tidak ada pintu bagi kebencian”.
Kalau engkau dermawan, senangkahlah hatimu! Kerana dengan dermawan, engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh yang telanjang, engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh. Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia. Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang akan berlipat ganda, sebab telah banyak orang lain yang telah mengecap nikmatnya.
Kalau sekiranya engkau tak kuasa jadi dermawan, itu pun senangkan pulalah hatimu! Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia, iaitu tiada membalas guna, penghilangkan jasa. Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian mesti datang kepada tiap-tiap dermawan, yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia tidak pembalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan dan beroleh ampunan dari tuhan.
Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh. Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.
Kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat, mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu, segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya. Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.
Kalau engkau dari keturunan yang mulia-mulia, tenangkanlah hatimu! Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu. Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan, dan kalau kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf, tandanya harga dirimu mahal dan timbanganmu berat. Yang penting ialah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang, memandang hanya dari penyakit mementingkan diri seorang, memandang hanya engkau yang benar, lalu masuk ke dalam daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada lagi orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.
Jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu! Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan. Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor dan perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya pendirianmu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu, engkau dapat beroleh pelajaran. Mula-mula maksudnya hendak meracunimu dengan serangan-serangannya yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah.
Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?
Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu! Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan tuhan dan kemuliaan nikmatNya, lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.
Kalau engkau sakit, senagkan pulalah hatimu! Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan tuhan, iaitu kesihatan dan kesakitan. Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia, ataupun kesembuhan yang sejati.
Kalau engkau menjadi orang luar biasa, senangkanlah hatimu! Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang trang benderang tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingg menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu, dilihatNya otakmu sehingga cerdas, dilihatNya mata sehingga jadi azimat, dilihatNya suaramu sehingga jadi sihir. Bagi orang lain, perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja. Tetapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat, boleh meninggikan, boleh memuliakan dan boleh menghinakan, sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam” “Adalah”, sehingga dia pun “Ada”.
Kalau engkau dilupakan orang, kurang dikenal, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu, mulut tak banyak mencacatmu, tak ada orang lain yang dengki kepadamu, tak ada orang yang meniatkan jatuhmu, mata tak banyak memandangmu. Itu, dihadapanmu ada puncak bukit kemuliaan orang yang masyhur itu berdiri di atas masyarakat, dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakat itu. Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir yang kecil-kecil. Dengan demikian itu, engkau akan merasai kesenangan hati yang kerapkali tak didapat oleh yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dalam ombak ilham.
Kalau sahabatmu setia kepadamu, tenangkanlah hatimu! Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal. Kalau kawanmu khianat, senangkan juga hatimu! Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.
Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhamba, senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperhamba kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah dapat suatu bangsa yang terus menerus dijajah.
Jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu! Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain, ada bagi kesempatan mencari kekuatan baru. Kemerdekaan itu mesti diisi dengan bahan-bahan yang baik, dan bagimu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.
Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal akan diri dan cita-cita engkau, senangkanlah hatimu! Kerana di sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak, menaungi lautan dan daratan.
Kalau engkau hidup dalam kalangan masyarakat yang masih rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau merasa ’sial-dangkal’, maka senangkan juga hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang yang patah sayap itu. Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal, untuk mengubati fikiranmu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwamu.
Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkahlah hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas kasihanNya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong dibawa satu perasaan di dalam lindungan Tuan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.
Jika engkau mencinta tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati akan bersih, laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walaupun bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah, tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar bertempat oleh manusia biasa.
Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.
Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.
Merasa senanglah selalu!
Merasa tenteramlah!
Demikian bunyi pidato itu.
Hamka amat dikenali sebagai teguh memegang prinsipnya. Beliau pernah dipenjara gara-gara fatwa dan kritikan kerasnya terhadap presiden dan kerajaan Indonesia. Tak silap saya, bermula dengan fatwa haram, melarang Presiden Soekarno menikah lagi. Kedua beliau mengkritik kerajaan mendekati PKI dan kemuncaknya menerbitkan penulisan ‘Demokrasi Kita’ – oleh Hatta yang mengkritik konsep demokrasi terpimpin yang dijalankan oleh Presiden Soekarno pada masa itu.
Banyak yang boleh diperkatakan tentang Hamka. Tetapi yang menariknya, bagaimana kita boleh mencetak Hamka dan melahirkan Hamka ke-2?
Bangsa Melayu harus belajar dari sejarah. Perginya tokoh ulung bukan bermakna malapnya sinar bintang tokoh agung bangsa kita. Wafatnya Nabi Muhammad meninggalkan Quran dan Hadis yang memimpin manusia ke syurga. Begitu juga dengan manusia biasa seperti kita. ‘Manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belang’. Sejarah mengajar manusia supaya hidup lebih teratur dan wibawa. Cuma manusia yang hati dan iman yang rosak sahaja sanggup mengulang kembali sejarah pahit yang telah berlaku sebelumnya.
Tahniah diucapkan kepada Datuk Lee Chong Wei atas kejayaan menjuarai kejohanan Badminton ALL-ENGLAND 2011 setelah mengalahkan musuh tradisi beliau iaitu LIN DAN dari China dengan kiraan mata Straight Set 21 - 17 set pertama dan 21 -17 Set kedua. Dua tahun berturut-turut memegang gelaran Juara All-England. Pastinya Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan Kejayaan ini.
Pastinya akan menjadi kebanggaan buat peminat sukan Badminton di Malaysia. Terutamanya kepada peminat - peminat baru dan bakat-bakat baru dalam dunia badminton. CAYALAH!!!
DI WAKTU kecil, apabila awan gelap berarak di langit, saya akan terkinja-kinja kerana tahu hujan lebat akan turun. Mandi hujan adalah kegemaran saya dan kawan-kawan sebaya. Mandi air yang turun dari cucur atap sungguh menyegarkan. Airnya sejuk. Lebih seronok lagi bila dapat memanjat dan masuk ke dalam tong lege iaitu tong minyak tar yang tingginya separas dada setelah dipotong dua. Airnya sedingin ais.
Puas mandi, saya dan kawan-kawan akan pergi ke parit di belakang rumah. Air yang melimpah dari dalam parit, melimpahkan juga ikan sepat dan anak-anak ikan yang lain. Dengan menggunakan pungkis, iaitu bakul rotan yang digunakan untuk mengangkat sampah, kami akan menangguk ikan yang masuk ke dalam kebun. Semua ikan yang ditangguk akan dimasukkan ke dalam tin majerin.
TETAPI, setelah hujan berhenti, tibalah masanya untuk menuju ke muka pengadilan! Abah yang selalunya tahu saya ke parit dengan kawan-kawan akan menanti di tangga rumah. Sambil mencekak pinggang, abah akan memberitahu yang dia puas memanggil saya menyuruh pulang. Namun, siapa yang dapat mendengar laungannya yang ditenggelami bunyi deru hujan lebat?
Seperti biasa, dengan muka kasihan, saya akan naik ke rumah tanpa berkata apa-apa. Tanpa disuruh, saya akan menarik salah sebatang rotan yang terselit di dinding dan menghulur kepadanya. Biasanya rotan yang saya pilih adalah yang paling besar kerana rotan yang halus akan memberi kesan pedih sementara yang besar sedikit akan memberi kesan sengal.
Abah akan menyebat betis saya tidak lebih daripada lima kali, bergantung kepada tahap kemarahannya. Oleh kerana saya selalunya diam ketika menerima hukuman, biasanya saya akan menerima tiga sebatan. Tetapi, walaupun sebatannya hanya tiga kali, betis saya akan birat berbelang. Berjurailah air mata. Tetapi saya sudah pandai untuk menangis tak berlagu.
Saya tahu, abah sayangkan saya. Apabila malam, setelah didodoi oemak, abah yang baru pulang daripada surau akan datang untuk melumur minyak urat di betis saya yang berbirat. Ketika itu, saya akan pura-pura tidur kerana berasa bahagia disayangi meskipun telah melakukan kesalahan. Saya mula mengerti, bila salah, kita pasti menerima hukuman. Saya mula fahami bahawa kita juga mesti menerima hukuman dengan tenang.
Lama sebelum itu, apabila saya melakukan kesalahan dan tatkala abah sedia menyebat, saya akan meraung, merayu dan minta ampun. Pernah juga saya lari dan bersembunyi di belakang emak untuk mengelak hukuman. Namun, pada suatu ketika, sambil menyebat abah sempat menurunkan nasihat, kalau hendak menjadi anak jantan, kita mestilah berani buat dan berani tanggung. Maknanya, saya bukan anak jantan jika berani buat, tetapi tak berani tanggung.
KITA semuanya sudah mumaiyiz sebelum akil baligh lagi. Tentu sekali kita tahu yang mana betul, yang mana salah, yang mana baik, yang mana buruk. Apabila dewasa, kita semestinya sudah panjang akal. Tahu risiko yang akan terjadi apabila kita melakukan kesalahan. Oleh itu, andainya kita sudah boleh berfikiran jauh, tetapi masih berani membuat salah, kita mestilah bersedia untuk menerima hukuman yang setimpal.
Kita tahu memandu melebihi had laju itu satu kesalahan. Berlumba dan beraksi dengan motorsikal seperti pelakon lasak itu juga satu kesalahan. Merokok itu membahayakan kesihatan. Atau, sengaja datang lewat ke pejabat itu melanggar peraturan syarikat. Mudah sekali kita memahami risiko melakukan kesalahan. Kerana itu, apabila hukuman sampai, kita sepatutnya menerima dengan senang dan tenang hati.
Kerana itu, tak kenalah bila kita yang melakukan kesalahan itu menyalahkan pula si pemberi hukuman. Bukankah kita ada hati kecil, yang siang-siang lagi membisikkan amaran sebelum kita lakukan satu kesalahan? Jadi, mengapa tidak mendengar suara dari lubuk hati itu? Tetapi, setelah melakukan kesalahan, kenapa kita berani pula mempersoalkan si pemberi hukuman dan mencabar pula sistem undang-undang sedangkan si penghukum berperanan membetulkan kita agar menjadi lebih baik?
BERANI menerima hukuman itu menandakan kita redha dengan ketentuan. Ia akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan itu pula akan menjadikan kita lebih baik. Mudah-mudahan memperoleh rahmat dari Yang Maha Pengampun.